Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Mei. - Muhasabah menjelang Zulhijah : daripada takwa menuju 'taqarrub' bermula dengan menjaga hati dan sempadan Allah.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya" (Al-Quran, Surah Al-Ma'idah : 35).
Takwa lahir apabila seseorang berusaha menjauhi maksiat, mengawal pandangan, menjaga lidah, menahan marah dan melawan nafsu. Apabila hati semakin peka terhadap dosa dan semakin takut kepada Allah, di situlah bermulanya langkah menuju 'taqarrub' (mendekatkan diri kepada-Nya).
Menjelang Zulhijah, inilah waktu terbaik untuk memperbaharui hati. Bukan sekadar menunggu ibadah korban tetapi mengorbankan sifat-sifat buruk seperti ego, hasad, riyak, dendam dan cinta dunia yang berlebihan.
Dengan muhasabah ini, Zulhijah menjadi ruang untuk membersihkan hati supaya takwa yang dibina benar-benar membawa 'kitani' lebih dekat kepada Allah.
Demikian antara intipati tazkirah bertajuk 'Muhasabah Menjelang Zulhijah : Dari Takwa Menuju Taqarrub' yang disampaikan oleh Ar-Razaq Kifayah Management, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Hezqyl bin Haji Hambali dari Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar bagi menyerikan Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-228, baru-baru ini.
Hadir bagi sama-sama mengimarahkan lagi program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut sama menyemarakkan Malam Munajat ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari beberapa buah masjid iaitu Masjid Kampung Sungai Hanching; Masjid Kampung Salambigar; Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan dan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang.
Turut menyertai ialah warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Berakas 'B', Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah dari Masjid Kampung Sungai Hanching, yang bersiaran dari masjid berkenaan.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Belia Masjid Kampung Salambigar, Awang Mohammad Aizuddin bin Haji Zainuddin dari Masjid Kampung Salambigar.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Imam Tingkat II, Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Muhammad Farhanuddin bin Haji Hassan.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Imam Tingkat III, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang, JHEM, KHEU, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan, Mukim Berakas 'B', Awang Haji Hamidi bin Haji Abdul Wahid dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut iaitu 'http://tiny.cc/munajatkheu'.